05:48
Subuh
07:21
Dhuha
13:00
Zohor
16:20
Asar
18:58
Maghrib
20:09
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

 | 

Arkib Berita

MULTAQA GURU KELAS AL-QURAN DAN FARDU AIN (KAFA) WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2026

 

MAIN_FRAME.jpeg

3 November 2026 (Selasa) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Unit Pengurusan Sekolah, Bahagian Pelajaran JAWI telah menganjurkan Multaqa Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Wilayah Persekutuan Tahun 2026 bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Penganjuran multaqa ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman guru KAFA terhadap dasar, hala tuju, pengurusan serta tatacara pelaksanaan pendidikan KAFA agar dapat dilaksanakan secara terancang, sistematik dan berkesan. Program ini turut memberi penekanan terhadap pemantapan profesionalisme, integriti dan komitmen guru dalam menggalas amanah serta tanggungjawab sebagai pendidik bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan menghayati ajaran Islam.

Selain itu, program ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh jaringan kerjasama antara guru KAFA dengan pihak pengurusan Bahagian Pelajaran JAWI. Hubungan yang erat dan kerjasama yang berterusan ini amat penting dalam memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan kualiti pendidikan Islam di Wilayah Persekutuan.

Pelbagai pengisian ilmu telah disusun sepanjang program berlangsung, antaranya bertajuk “Budaya Kerja Cemerlang dalam Organisasi Pendidikan”, “Komunikasi Berkesan: Kunci Pengurusan Pendidikan yang Harmoni” dan “Kerja Berpasukan dalam Pengurusan Pendidikan: Bersatu Membina Kecemerlangan”. Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh barisan penceramah yang berpengalaman dalam bidang pendidikan dan pengurusan organisasi.

Multaqa ini telah menghimpunkan seramai 550 orang guru KAFA daripada Institusi Pendidikan Islam JAWI di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Penceramah jemputan terdiri daripada pensyarah akademik Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, iaitu Dr. Engku Zarihan binti Engku Abdul Rahman dan Puan Rabihah binti Mohd Ghazali. Turut berkongsi ilmu ialah Encik Mukhmad Syamsul Huda bin Lahuri, Ketua Unit Dasar Pendidikan, Bahagian Pelajaran JAWI.

Majlis perasmian Multaqa telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), YBrs Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), YBhg Brigedier Jeneral Datuk Dr. Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, YBrs Tuan Ahmad Tilmizi bin Yahaya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, YBrs Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Ketua-Ketua Bahagian JAWI.

Majlis turut diserikan dengan pelancaran Buku Manual Pengurusan Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) oleh YB Menteri. Penerbitan buku manual ini merupakan salah satu usaha JAWI dalam menyediakan panduan dan rujukan yang komprehensif bagi membantu memperkemas aspek pengurusan serta pelaksanaan pendidikan KAFA di Wilayah Persekutuan.

JAWI berharap agar penganjuran multaqa ini dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan profesionalisme, integriti dan budaya kerja berpasukan dalam kalangan guru KAFA. Semoga segala ilmu, perkongsian dan panduan yang diperoleh dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan tugas yang lebih berkualiti, sekali gus meningkatkan kompetensi warga pendidik, kecekapan pengurusan serta keberkesanan penyampaian pendidikan KAFA ke arah melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

 
 
 
WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (2) WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM
WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (1) WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (5)
WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (4) WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (4)
10 11

 

Disediakan oleh:

 

Bahagian Pelajaran

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan