
|
19 SEPTEMBER 2026 | 5 RABIUL AKHIR 1448H - Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, hari ini.
Lawatan turun padang ini bertujuan untuk meninjau perkembangan serta pengurusan masjid secara lebih dekat di samping memastikan institusi masjid terus berfungsi sebagai pusat pembangunan dan penyatuan komuniti, melangkaui peranannya sebagai tempat ibadah semata-mata. Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah Operasi JAWI, YBrs. Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan serta barisan pegawai kanan MAIWP dan JAWI. Kehadiran delegasi telah disambut mesra oleh YBrs. Prof. Dr. Fauziah binti Syeikh Ahmad, Ketua Kampus Cawangan UTM Kuala Lumpur dan YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Al’Ikhsan bin Ghazali, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Kuala Lumpur. YBhg. Datuk menegaskan bahawa pengurusan dan pentadbiran masjid hendaklah dilaksanakan secara amanah, cekap, telus, dan profesional. Fokus utama ditekankan pada pengurusan kewangan bagi memastikan setiap sumbangan diurus dengan penuh tanggungjawab demi manfaat jemaah dan masyarakat. Dalam masa yang sama, penglibatan generasi muda dalam program masjid perlulah diperluas melalui aktiviti kerohanian, pendidikan, kemasyarakatan, kesukarelawanan, sukan, dan pembangunan sahsiah. Penglibatan aktif ini diyakini dapat melahirkan generasi pewaris yang mencintai institusi masjid. Pihak JAWI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen padu YBhg. Datuk Pengerusi MAIWP, pihak delegasi, dan seluruh Jawatankuasa Kariah Masjid UTM KL. Semoga jalinan kerjasama erat antara MAIWP, JAWI, dan institusi masjid terus diperkukuh demi memartabatkan masjid sebagai pusat kecemerlangan pembangunan ummah yang profesional, berintegriti, dan berkesan. #JAWI |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته