Majlis Perasmian Bulan Imarah Masjid/Surau Peringkat Wilayah Persekutuan 1434H/2013M Anjuran JAWI
Program berkenaan yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 10.30 malam itu bermula dengan acara Kayuhan Imarah Masjid dan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk Sukaneka, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Azan dan Pertandingan Gubahan. Selain itu, program tersebut turut disusun dengan aktiviti pengisian ilmiah iaitu Talk Show bersama Selebriti yang menampilkan penampilan istimewa selebriti Haryati Hamzah (Yatt Hamzah) sebagai panel jemputan bergandingan dengan Ustaz Farhan Sood. Manakala Forum Perdana Ehwal Islam turut diserikan dengan kehadiran panel khas Ustaz Abdul Jabbar Bin Abdul Kahar yang juga merupakan Juara Imam Muda Musim Ketiga bergandingan dengan Ustaz Haryanto Rizal Bin Rokman. Terdahulu, Majlis Perasmian Program Bulan Imarah Masjid/ Surau Peringkat Wilayah Persekutuan 1434H/2013M disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Basori Bin Haji Umar, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Kariah mewakili YBhg. Datuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hadir sama ialah YBhg. Ustaz Mohamed Fishal Bin Ahmad, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Kariah. Tuan Haji Mohd Basori ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata fungsi masjid bukan sekadar lokasi untuk mengerjakan solat dan akticiti ceramah atau kuliah agama sahaja, malah peranan rumah ibadat tersebut seharusnya diperluaskan bagi menarik masyarakat Islam khususnya golongan belia untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan. Dalam pada itu, program berkenaan turut menyaksikan acara penyerahan Van Komuniti Serbaguna kepada zon-zon. Van berkenaan merupakan salah satu usaha pihak JAWI menjadi printis transformasi perkhidmatan masjid-masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dengan menaik taraf kenderaan jenazah sedia ada kepada van serbaguna fleksibel yang dikenali sebagai “Van Serbaguna Komuniti”. Foto oleh: Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria Teks oleh: Unit Perhubungan Awam Dan Penerbitan |
Jumlah paparan: 5615