Majlis Perasmian Raudhatul Sakinah Kl-Karak Dan Pelancaran Sistem E-Pusara
![]() Majls tersebut telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hadir sama ialah YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Sahibus Samahah Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Hj. Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP dan YBhg. Dr Muhammad Yamin Bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP. Raudhatul Sakinah (Kubur Dalam Taman) ialah projek membangunkan tanah perkuburan Islam moden yang membabitkan kerja memperindah landskap. Turut mempunyai ciri-ciri pengurusan yang sistematik dan dilengkapi dengan kemudahan sistem maklumat pengkebumian (e-Pusara). Projek pembangunan ini mampu meningkatkan imej pengurusan Islam yang inovatif selari dengan peredaran masa. Konsep utama pelan pembangunan tanah kubur ini meliputi tapak pengkebumian, tapak kemudahan infrastruktur dan pengurusan serta rangkaian pejalan kaki. Sistem e-Pusara pula merupakan aplikasi berasaskan web yang boleh dicapai serentak oleh orang ramai dan pentadbir sistem untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai pengurusan tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan. Waris dan orang awam dapat mencari lokasi kubur dan maklumat si mati dengan pantas dan mudah. Sistem ini turut digunakan oleh penyelia kubur dan penyelaras zon untuk menguruskan tanah perkuburan di samping mengenal pasti lot tanah perkuburan yang telah dan belum digunakan. Selain itu, JAWI dapat mengumpul data mengenai kubur dan maklumat si mati secara berpusat dan sistematik.
Foto oleh: Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria Teks oleh: Unit Perhubungan Awam Dan Penerbitan, |
Jumlah paparan: 6309