Seminar Isu-Isu Cabaran Media Berunsur Islam Di Wilayah Persekutuan
Objektif utama program adalah bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah ke arah menyebarkan ilmu pengetahuan kepada umat Islam dan bagi mendedahkan kepada masyarakat mengenai penyelewengan yang berlaku dalam media serta menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam daripada tercemar. Selain itu, seminar ini turut memberikan penjelasan menyenai unsur-unsur yang boleh mengelirukan akidah umat Islam dalam hal-hal berkaitan bahan-bahan penerbitan berunsur Islam. Di samping, memberi kesedaran kepada masyarakat supaya berwaspada terhadap pengaruh media serta membantu membendung pengedaran bahan-bahan media sama ada elektronik atau media baru daripada membawa idealogi yang salah dan mengelirukan serta mencemar akidah umat Islam. Terdapat dua slot dalam seminar ini iaitu ‘Slot 1 : Cabaran Pemantauan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam’ oleh YBhg. En. Azman Bin Mat Hassan, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kawalan Media Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ‘Slot 2 : Peranan Media Dalam Dakwah Islamiah’ oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Bin Ahmad, Dekan Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia. Majlis perasmian telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Razali Bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pemb. Insan) JAKIM. Turut hadir, Ybhg. Tuan Haji Omar Bin Said, Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI dan YBhg. Tuan Haji Zainal Abidin Bin Haji Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI. Foto dan teks oleh: Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria |
Jumlah paparan: 5582