BPPK JAWI ANJUR TAKLIMAT NCR PETUGAS KAUNTER
25 April 2025 I 26 Syawal 1446H - Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengadakan Taklimat Prosedur Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' bertempat di Bilik Mesyuarat BPPK, JAWI.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Bahagian ini dalam memperkasa pengetahuan dan kefahaman serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam (PNCR) Wilayah Persekutuan dan petugas kaunter, selaras dengan peruntukan undang-undang serta arahan semasa yang berkuat kuasa. Ia juga bertujuan memastikan setiap petugas dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan jelas kepada orang awam.
Seramai 30 orang peserta telah menghadiri taklimat ini. Keutamaan diberikan kepada petugas kaunter dari kalangan pegawai baharu yang bertugas di BPPK JAWI.
Antara pengisian utama sepanjang taklimat ini termasuklah prosedur perkahwinan, penceraian dan ruju', sesi soal jawab antara peserta dan penceramah serta perbincangan terbuka mengenai isu-isu yang berbangkit di kaunter.
Taklimat telah disampaikan oleh Puan Nik Norliza binti Nik Kamaludin, Ketua Cawangan Nikah, Cerai, Ruju' BPPK, dan Puan Noralyaa Farhanah binti Mohd Noh serta Puan Ramshina binti Ab Rahim dari cawangan yang sama. Turut hadir Puan Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan BPPK merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan,Penceraian dan Ruju' (KPNCR) Orang Islam Wilayah Persekutuan.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala bagi memastikan kualiti perkhidmatan kaunter BPPK sentiasa berada pada tahap yang terbaik, sejajar dengan keperluan semasa dan harapan masyarakat.
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan