KEMPEN KELUARGA MADANI 2024
28 September 2024 | 24 Rabiulawal 1446H (Sabtu) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) dengan kerjasama Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur telah menganjurkan Kempen Keluarga Madani 2024 bertempat di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Kempen sehari ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Emas ke-50 Tahun JAWI.
Penganjuran Kempen Keluarga Madani menjadi platform kepada komuniti setempat untuk menambah ilmu dan kemahiran berkaitan kekeluargaan dalam mewujud keluarga yang sejahtera dan diredhai Allah SWT. Kempen dilaksanakan dengan turun ke lapangan untuk bertemu dan menyantuni penduduk agar penyampaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Ia juga sebagai salah satu usaha bagi memantap institusi kekeluargaan Islam di Wilayah Persekutuan demi mencapai aspirasi Malaysia Madani.
Pelbagai pengisian menarik telah dijalankan sepanjang kempen berlangsung bermula dengan solat Subuh Macam Jumaat, diteruskan dengan sesi Bicara Santai Keluarga Madani "Baiti Jannati" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Abd Nasir bin Abdullah dari JAWI, Ustaz Suhaimi bin Ahmad Wakid dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) manakala Ustaz Hazman bin Hashim, Imam Masjid Putra selaku moderator.
Pada sebelah petang, kempen diteruskan dengan slot Hello Doktor “Kanser : Kesan, Cegah dan Rawat” yang disampaikan oleh Dr. Ashley Faizah binti Zulkapeli, Pegawai Perubatan, National Cancer Society Malaysia (NCSM). Slot Bicara Wanita Madani “Hebatnya Wanita” pula telah disampaikan oleh Dr. Zilal binti Saari, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kempen Keluarga Madani turut menyediakan reruai pameran (booth) yang disertai oleh 18 pempamer yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan perkhidmatan masing-masing, iaitu.
- Bahagian Penguatkuasaan JAWI
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
- Kementerian Kesihatan Wilayah Persekutuan
- Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan
- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan
- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
- Jabatan Bantuan Guaman
- Angkatan Tentera Darat Malaysia
- Agensi Angkasa Malaysia
- Perkeso Wilayah Persekutuan
- National Cancer Society Malaysia
- Agensi Antidadah Kebangsaan
- Maybank Sdn Bhd
- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
- Lembaga Tabung Haji Wilayah Persekutuan
- Andalusia Travel & Tours
- Pusat Rawatan Tradisional Melayu dan Postnatal Ar-Raudhah
Selain itu, Kaunter Khidmat Nasihat Kekeluargaan, pertandingan gubahan serta gerai jualan daripada penduduk setempat juga turut memeriahkan program sepanjang kempen ini berlangsung.
Perasmian kempen telah disempurnakan oleh YBhg. Kolonel Datuk Hj. Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah Operasi JAWI, YBrs Puan Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI dan YBrs. Tuan Hj. Mohd Shah Hasim, Pengerusi Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
YBhg. Pengarah JAWI turut menyampaikan Sumbangan Bakul Makanan JAWI Food Bank kepada 100 orang asnaf kariah yang terpilih. Seramai lebih 1000 orang pengunjung telah hadir menyertai dan memeriahkan Kempen Keluarga Madani 2024.
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK),
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan