Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Waris Mangsa Kemalangan Maut, Allahyarhamah Rohayati Binti Osman
21 Februari 2014 (Jumaat) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai kepada tiga anak guru agama JAWI yang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 451.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, 30 Disember lalu. Allahyarhamah Rohayati Osman, 42, berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) DGA29 di JAWI manakala suaminya Allahyarham Norhairy Ahmad, 42, pesara tentera berpangkat sarjan turut maut dalam kemalangan itu. Turut terkorban dalam kemalangan tersebut ialah anak sulung pasangan itu, Adibah, 17, manakala anak bongsu, Athirotul Huda, 6, yang koma meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 Januari lalu. Sumbangan disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Paimuzi Yahya, Pengarah JAWI kepada anak-anak pasangan terbabit iaitu Atifa, 16, Ahmad Athirul Hadi Khairi, 13, dan Ahmad Kashful Hadi, 11. Tuan Haji berkata sumbangan sejumlah RM12,403.00 itu diharap dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan terutama selepas kematian ibu bapa mereka dalam kemalangan tersebut. Foto oleh: Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria Teks oleh: Unit Perhubungan Awam Dan Penerbitan |
Jumlah paparan: 4215