MAJLIS APRESIASI DAN PENYAMPAIAN SIJIL STANDARD PENARAFAN PUSAT-PUSAT KURSUS PRAPERKAHWINAN ISLAM WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2021

Penarafan 1

26 Oktober 2021 | 19 Rabiulawal 1443H (Selasa) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sijil Standard Penarafan Pusat-Pusat Kursus Praperkahwinan Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan Tahun 2021 bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Majlis ini adalah yang kedua diadakan selepas penganjuran kali pertama pada 4 Februari 2020 bagi menghargai pencapaian dan penglibatan syarikat dan pengendali Kursus Praperkahwinan Islam (KPPI) yang banyak membantu JAWI dalam melaksanakan KPPI kepada masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Perasmian majlis dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Timbalan Pengarah Operasi JAWI. Pelancaran Buku Garis Panduan Penarafan Pusat Kursus Praperkahwinan Islam JAWI turut diadakan dalam majlis tersebut. Hadir sama ialah YBrs. Tuan Rozimi bin Zamri, Ketua Penolong Pengarah Kanan BPPK merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam (KPNCR) Wilayah-Wilayah Persekutuan dan YBrs. Puan Sharidah binti Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, JAWI Labuan.

Program penarafan dan pengauditan pusat KPPI julung kali diadakan bermula tahun 2019 bertujuan untuk meningkatkan standard kualiti pengurusan pusat-pusat KPPI di Wilayah-Wilayah Persekutuan agar lebih tersusun, kemas dan bersistematik. Sebanyak 26 pusat kursus telah terlibat dalam penilaian penarafan pada tahun ini meliputi pusat-pusat kursus di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Penilaian adalah berpandukan Garis Panduan Penarafan Pusat Kursus Praperkahwinan Islam JAWI merangkumi Gred A, B dan C (1-5 Bintang).

Setelah mengambilkira situasi pandemik COVID-19 dan kesannya kepada Pusat KPPI maka JAWI telah mengemas kini kaedah penilaian penarafan sedia ada mengikut kriteria berikut:

a. Penilaian dilaksanakan kepada pusat-pusat kursus yang diberikan Sijil Kebenaran atau permit penganjuran kursus dari tahun 2020 hingga 15 Ogos 2021.

b. Tumpuan penilaian berdasarkan empat (4) komponen utama:

     i. Kemudahan fasiliti yang lengkap dan bersesuaian;

     ii. Pelaksanaan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) versi terkini;

     iii. Aplikasi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM); dan

     iv. Pengurusan fail dan rekod pusat-pusat kursus.

c. Kesungguhan dan komitmen pusat-pusat kursus dalam pengendalian kursus secara dalam talian (online).

d. Kreativiti promosi dan iklan.

e. Sumbangan dari aspek bimbingan dan latihan sesama pusat kursus atau kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) lain untuk pelaksanaan kursus secara dalam talian.

Sebanyak 10 pusat kursus telah berjaya mendapat Gred A: Cemerlang (4 Bintang), 13 pusat kursus mendapat Gred B: Baik (3 Bintang) dan selebihnya mendapat Gred C: Baik.

Penarafan 2 Penarafan 3
Penarafan 4 Penarafan 1
Penarafan 5 Penarafan 6

 

Disediakan oleh:

Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga (BPPK),

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan


Cetak   Emel