Kursus Profesionalisme Imam 1439H / 2017M
14 &15 Oktober 2017M / 24 dan 25 Muharam 1439H (Sabtu dan Ahad) - Aspek profesionalisme dalam pengurusan merupakan elemen yang memainkan peranan yang sangat penting dalam melancarkan segala urusan dalam pelbagai bidang tugas. Bagi memastikan aspek ini tercapai, penghayatan terhadap ilmu dan kemahiran amat diperlukan. Selaras dengan matlamat yang ingin dicapai, Unit Pengurusan Masjid, JAWI Cawangan Putrajaya dengan kerjasama pihak Surau Al-Muhajirin, Presint 9 Putrajaya menganjurkan Kursus Profesionalisme Imam 1439H / 2017M yang bertempat di Surau Al-Muhajirin Presint 9, Putrajaya Kursus selama 2 hari yang dihadiri oleh 72 peserta yang terdiri daripada para imam bagi surau-surau sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya ini ternyata mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Kursus ini bertujuan untuk memantapkan dan meningkatkan kualiti para imam serta peranannya yang sebenar dalam masyarakat diikuti kepentingan profesionalisme serta akhlak yang baik dalam melancarkan urusan aktiviti dan pengimarahan surau-surau di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pelbagai slot menarik menjadi pengisian dalam kursus kali ini. Antara yang menarik perhatian para peserta ialah slot teori dan praktikal yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hasim Bin Harun dari IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi mengenai peranan para imam di mata masyarakat dan teknik penyampaian khutbah berkesan serta teknik kawalan dan lontaran suara. Slot-slot pada hari kedua kursus berkenaan Kesalahan-kesalahan Bacaan dan Pengijazahan Sanad Al-Fatihah yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Taha Bin Hassan. turut menjadi pengisian dalam kursus ini. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Tuan Haji Azmi Bin Mohammad, Pengerusi Surau Al-Muhajirin Presint 9, Putrajaya manakala ucapan perasmian penutup disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh Pengarah JAWI.
JAWI Cawangan Putrajaya,
|