Program Lawatan Kerja JAWI ke Agensi Berkaunter Jabatan Kerajaan
17 Ogos 2015M / 2 Zulkaedah 1436H (Isnin) – Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengadakan Program Lawatan Kerja JAWI Ke Agensi Berkaunter Jabatan Kerajaan. Program ini diketuai oleh Tn. Hj. Yaakob bin Abdul Rahim, Timbalan Pengarah Operasi JAWI bersama-sama dengan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Pn. Hjh Zaiton binti Abd Rahman. Wakil daripada bahagian-bahagian JAWI turut dijemput bersama dalam program ini iaitu Pn. Maizura binti Shamsudin, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pengurusan Saudara Baru dan En. Mohd Sahirman bin Ahmad Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Saudara Baru mewakili Bahagian Pengurusan Dakwah. Bahagian Pembangunan pula diwakili oleh Pn. Irdawati binti Rejab, Penolong Jurutera Awam dan Pn. Asmanormaria binti Abdul Rahman, Penolong Jurutera. Unit Perhubungan Awam diwakili oleh En. Mohd Mustaqim bin Mohamed, Pembantu Hal Ehwal Islam. JAWI telah membuat lawatan Ke Agensi Berkaunter Jabatan Kerajaan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi melihat pengurusan kaunter di jabatan-jabatan tersebut. Selain itu, aspek kemudahan dan penyampaian perkhidmatan juga dilihat bagi menambahbaik dan mempertingkatkan sistem perkhidmatan kaunter di JAWI terutamanya bahagian-bahagian yang mempunyai kaunter pelanggan supaya selaras dengan dasar transfomasi Kerajaan. Lawatan yang diadakan ini juga merupakan medium untuk berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan lebih efisen kepada para pelanggan bagi merealisasikan aspirasi negara iaitu ‘’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’’. Dalam pertemuan bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia sedikit sebanyak dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh pasangan-pasangan yang ingin mendaftarkan anak dan memperbaharui passport warga asing yang bernikah di Malaysia kerana perkara tersebut berkait rapat dengan urusan JAWI. Semoga Program Lawatan Kerja JAWI Ke Agensi Berkaunter Jabatan Kerajaan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dengan jabatan-jabatan tersebut terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia disamping dapatan yang diterima boleh diterjemahkan di JAWI bagi memberikan sebuah perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan yang berurusan di jabatan ini. |
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan