05:43
Imsak
05:53
Subuh
13:13
Zohor
16:32
Asar
19:20
Maghrib
20:31
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

Saiz Teks A- A A+
A A A
 | 

Arkib Berita

JAWI pertama kali berjaya anjur Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-58

 

vip n all

20 – 25 April 2015 M / 1 – 6 Rejab 1436H – Buat pertama kalinya, Wilayah Persekutuan dipilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQK) ke-58 2015M/ 1436H kali ini. Majlis yang telah berlangsung selama enam hari bermula 20 hingga 25 April di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ini bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Ia dilihat amat relevan dan signifikan dalam negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa, budaya dan agama seperti Malaysia.

Seperti kelaziman, Tilawah kali ini menghimpunkan 28 peserta merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri. Selain MTQK, program sampingan yang turut dianjurkan adalah Seminar Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Karnival Semarak Syariah 2015. Para Qari dan Qariah turut dibawa melawat agensi-agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan tempat-tempat menarik di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bermula 21 April hingga 24 April 2015 (Selasa – Jumaat), seramai 7 orang peserta memperdengarkan bacaan pada setiap malam. MTQK kali ini turut menampilkan kelainan dengan persembahan nasyid disajikan sebagai pembuka tirai majlis manakala santapan ilmu mengisi slot di pertengahan majlis. Kumpulan nasyid yang mengambil bahagian adalah Kumpulan Izdihar dari Darul Quran, Kumpulan Soutul Falah dari Maahad Tahfiz Darul Falah, Kumpulan Anugerah dari SMAKL dan Kumpulan Nowseeheart. Barisan penceramah pula adalah S.S Dr. Haji Zulkifly bin Muda (Mufti Terengganu), S.S Datuk Dr. Zulkifli b. Mohamad Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan), Al-Fadhil Dr. Roslan bin Mohamed (Pensyarah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya) dan Dr. Muhammad Lukman bin Ibrahim (Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya).

Kemuncak majlis adalah pada 25 April 2015 apabila Y.Bhg Dato’ Othman bin Mustapha selaku Pengerusi Jemaah Hakim MTQK Ke-58 2015M/1436H mengumumkan keputusan berdasarkan pemarkahan yang telah diadili oleh 15 orang hakim. Qari Wan Ainuddin Hilmi, dari Kelantan dan qariah Siti Husnaa Hassan, dari Pahang telah dinobat sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000 dari Kerajaan Persekutuan dan RM15,000 dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, sebuah Proton Preve tajaan Tabung Haji, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan fardhu Haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Hadiah telah disampaikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib b Tun Hj. Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia kepada peserta qari manakala isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor menyampaikan hadiah kepada peserta qariah di majlis yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Turut hadir YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Wan Ainuddin, 32, yang memperdengarkan bacaan surah As-Sabaa bermula ayat 36 telah memperoleh markah 88.35 peratus manakala Siti Husnaa, 23 (ayat 34, surah An-Nisa') pula memperoleh 85.01 peratus. Kedua-dua Johan Qari dan Qariah ini akan mewakili negara dalam Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Antarabangsa ke-57 yang bakal berlangsung pada 9 hingga 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Qari dari Selangor, Abdul Khair Jalil muncul naib johan dengan markah 87.67 peratus manakala qari Azraei Abdul Hak dari Melaka meraih tempat ketiga dengan markah 87.02 peratus. Bagi kategori qariah, Roziah Ayup dari Sarawak, muncul naib johan dengan memperoleh markah 84.34 peratus manakala qariah Selangor, Nur Ruzana Natiah Jaafar mendapat tempat ketiga dengan 82.35 peratus. Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM20,000 dan RM15,000 selain RM4,500 kepada penerima saguhati. Johan keseluruhan pula diraih Negeri Pahang Darul Makmur yang mendapat markah sebanyak 85.51 peratus. 

rosmah turun kereta2najib salam awal
215
79  

 

Foto oleh:

Unit Perhubungan Awam JAWI

Teks oleh:

Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI


Cetak   Emel