05:44
Imsak
05:54
Subuh
13:13
Zohor
16:30
Asar
19:20
Maghrib
20:31
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

Saiz Teks A- A A+
A A A
 | 

Arkib Berita

Kempen “Buat Elok Saja Tau” (BEST) menarik minat mendekati Islam

 

KEMPEN KESEDARAN GEJALA SOSIAL

BEMAIN

14 Februari 2015 (Sabtu) - Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengadakan Kempen Kesedaran Gejala Sosial dengan tema “Buat Elok Saja Tau” (BEST) bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Program ini merupakan program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penganjur utama, JAWI, Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur (MJBKL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PRASARANA (LRT), Yayasan Ihtimam Malaysia, Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) dan Pertubuhan Amal Firdausi (PAFI).

 

Objektif program ini adalah bagi melahirkan pasukan sukarelawan sosial Islam yang baharu, yang bersedia menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang dengan penuh bersemangat dan teguh. Sasaran dakwah sukarelawan sosial Islam ini bukan sahaja terhad kepada program bersama masyarakat arus perdana, sebaliknya mencakupi masyarakat terpinggir seperti para gelandangan, pesakit HIV, golongan kecelaruan jantina dan pelacur jalanan.

 

Program yang disertai oleh 200 orang sukarelawan ini dimulakan dengan slot pertama iaitu ceramah bertajuk “Sukarelawan dan Kepentingannya Menurut Perspektif Islam” yang disampaikan oleh Dr. Turiman b. Suandi dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau banyak menekankan bagaimana setiap sukarelawan mempunyai potensi untuk menyalurkan bakat dan kemahiran sedia ada dalam menjalankan kerja-kerja sukarelawan.

 

Slot kedua yang disampaikan oleh En. Mohd. Raffie b. Jaafar dari Pertubuhan Amal Firdausi (PAFI) dalam ceramah yang bertajuk “Kaedah Outreach (Temuseru)” memberi input berguna kepada para sukarelawan terutamanya berkenaan kaedah mendekati masyarakat terpinggir.

 

Program diteruskan dengan aktiviti temuseru dan street busking oleh empat kumpulan buskers di sekitar stesen LRT Masjid Jamek, kompleks membeli-belah SOGO dan stesen LRT Pasar Seni. Aktiviti ini dimulakan dengan gimik pelancaran di stesen LRT Masjid Jamek dengan lagu-lagu dakwah dendangan kumpulan buskers dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat. Selain itu, sekumpulan sukarelawan wanita manjalankan aktiviti Kempen Menutup Aurat berserta demonstrasi memakai hijab dan flashmob sekitar stesen LRT Masjid Jamek.

Pada sebelah petang pula, para sukarelawan mempersembahkan nyanyian lagu-lagu dakwah, selawat dan puisi di perkarangan Masjid Jamek. Slot terakhir pada sebelah malam menghimpunkan para sukarelawan, para petugas dan masyarakat awam dalam sebuah forum bertajuk Bicara Islam dan Komuniti bersama Ustaz Hanafiah b. Abdul Malek dari Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (SIDIM) dan moderator Hj. Syafiq b. Zulakifli, penyampai radio IKIM.fm.

 

Sejurus sebelum program berakhir, majlis menyaksikan seorang wanita telah mengisytiharkan keIslaman setelah tertarik dengan poster yang dipamerkan semasa Kempen Menutup Aurat. Beliau melafazkan kalimah syahadah dengan dibimbing oleh panelis forum dan disaksikan oleh seluruh hadirin pada malam tersebut. Seluruh hadirin sangat terkesan dengan pengIslaman tersebut dan ini memberi keyakinan kepada para sukarelawan bahawa usaha yang sedikit tetapi ikhlas, penuh berhikmah dan berterusan akan memberi kesan kepada hati yang mencari kebenaran dan jalan pulang.

 

Program ini diharapkan dapat memberi manfaat dan pengalaman berguna kepada para sukarelawan baharu terutamanya dalam mengukuhkan jatidiri seorang sukarelawan dan menarik seluruh lapisan masyarakat serta masyarakat terpinggir ke arus perdana masyarakat.

 Be1 Be2 
 Be3  Be4
 Be7  Be8

 

 

Gambar dan Teks oleh:

Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI

 


Cetak   Emel