KURSUS PROFESIONALISME PNCR & PPNCR SIRI 2/2025: PENEKANAN PADA INTEGRITI DAN PEMATUHAN AKTA 303

3 September 2025 | 10 Rabi'ul Awwal 1447H (Rabu) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (PNCR & PPNCR) Siri 2/2025. Kursus ini bertempat di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Ia dihadiri oleh lebih 50 peserta yang terdiri daripada PNCR, PPNCR, serta kakitangan BPPK JAWI.
Objektif utama kursus ini adalah untuk:
- Meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti PNCR serta PPNCR dalam melaksanakan tugas mereka.
- Memberi pendedahan mengenai isu-isu semasa berkaitan perkahwinan orang Islam.
- Memperkasakan kefahaman peserta terhadap pelaksanaan tugas mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang, khususnya Akta 303 – Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.
Kursus ini menampilkan dua sesi utama yang memberi input berguna dalam meningkatkan profesionalisme dan integriti peserta.
- Forum: “Jurunikah Berintegriti, Perkahwinan Diberkati”
Forum ini menampilkan panel-panel berwibawa, iaitu Tuan Ahmad Nuri Muda dan Tuan Ezmin Rasyid, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, yang membincangkan mengenai peranan jurunikah dalam memastikan perkahwinan yang sah serta patuh syariah. Mereka turut menekankan pentingnya integriti dalam menjalankan tugas sebagai jurunikah untuk menjamin keberkatan dalam institusi perkahwinan. Forum ini dimoderatorkan oleh Ustaz Mohd Zaim Juwaidi bin Jamaluddin, PPNCR Masjid Usamah bin Zaid. - Ceramah: “Perkahwinan Berlawanan Akta – Punca, Risiko, dan Langkah Pencegahan”
Ceramah ini disampaikan oleh Tuan Hj. Muhamad Hisyam Zakaria, Ketua Unit Syariah, Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor. Beliau memberi penjelasan mengenai risiko dan implikasi perkahwinan yang bertentangan dengan Akta 303, serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan kepatuhan terhadap undang-undang keluarga Islam. Ceramah ini memberi panduan yang berguna kepada peserta untuk menangani isu-isu berkaitan perkahwinan yang tidak sah dari perspektif syariah dan undang-undang.
Pada sesi petang, diadakan satu diskusi interaktif di antara peserta dengan panel berkenaan isu-isu semasa dalam pentadbiran NCR di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Diskusi ini memberi peluang kepada peserta untuk berbincang tentang cabaran-cabaran yang dihadapi serta mendapatkan pencerahan berhubung isu-isu praktikal dalam pentadbiran NCR menurut peraturan semasa dan kehendak syarak.
Kursus ini diakhiri dengan ucapan dan perasmian penutup oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI, Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin. Dalam ucapannya, beliau menyatakan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen mereka serta menegaskan bahawa pemerkasaan ilmu dan integriti adalah elemen penting dalam memperkukuh institusi perkahwinan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Beliau juga menyeru agar ilmu yang diperoleh diaplikasikan dalam tugas seharian demi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Melalui penganjuran kursus ini, JAWI berharap agar barisan PNCR dan PPNCR terus diperkasakan dengan ilmu pengetahuan yang lebih mendalam, kefahaman yang jelas terhadap undang-undang, serta nilai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Dengan ini, perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang, efisien, dan sentiasa mematuhi syariah.
![]() |
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
BAHAGIAN PERKAHWINAN DAN PEMBANGUNAN KELUARGA (BPPK)
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)








