LAWATAN PEMERHATIAN PERBICARAAN KES DI MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN MEREALISASIKAN MATLAMAT 3P BUAT WARGA BPPK JAWI

6 OGOS 2025 / 12 Safar 1447H – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah berjaya mengadakan lawatan pemerhatian perbicaraan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) Kuala Lumpur untuk siri kedua tahun ini.
Lawatan ini menitikberatkan kepada tiga (3) matlamat utama, iaitu :-
- Pemahaman mengenai proses-proses perbicaraan terutamanya untuk kes-kes perceraian yang relevan dengan kerja/ tugasan di Bahagian iaitu mengendalikan runding cara kekeluargaan, Jawatankuasa Pendamai dan sebagainya;
- Pembelajaran mengenai prosedur-prosedur tertentu di Mahkamah Syariah dan bagaimana ia dilaksanakan;
- Pendedahan mengenai amalan-amalan yang digunakan di Mahkamah Syariah.

Lawatan kali ini melibatkan seramai 15 pegawai dan kakitangan daripada BPPK yang diketuai oleh Puan Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan BPPK merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan. Turut hadir Puan Warda binti Misnon, Ketua Penolong Pengarah BPPK selaku Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan.


Sejurus tiba di lobi utama MSWP pada jam 9.00 pagi, delegasi JAWI disambut baik oleh Ketua Pendaftar MSWP, Tuan Ahmad Basyir bin Yaakub dan dimulakan dengan sesi fotografi. Kemudian delegasi dibawa melawat ke Galeri MSWP untuk melihat sejarah, revolusi pemfailan, buku catatan/ rekod kes-kes dan pencapaian sepanjang tempoh 50 tahun penubuhan MSWP. Kami juga berpeluang mendengar penerangan ringkas mengenai proses pendaftaran kes-kes fast track daripada Tuan Ahmad Syafiq bin Awalludin, Penolong Pendaftar MSWP dan melihat pelaksanaan operasi di kaunter. Seterusnya, kami dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama yang terletak di Aras 5 untuk sesi taklimat ringkas oleh Pendaftar MSWP, Tuan Mohd Amir bin Arifin @ Haji Rifin mengenai proses perundangan dan pendaftaran di MSWP.

Pada jam 11.00 pagi, kami kemudiannya dibawa melihat dan mendengar pengendalian perbicaraan kes secara langsung oleh hakim-hakim syarie yang berkaliber di dewan-dewan mahkamah rendah syariah melibatkan kes cerai, permohonan wali hakim dan perintah bersaling.
Delegasi JAWI amat berpuashati dan berharap program sebegini dilaksanakan dengan lebih kerap kerana amat relevan dan berkait rapat dengan pengendalian operasi di BPPK JAWI. Program ini juga dapat mengukuhkan lagi hubungan dan jalinan kerjasama antara JAWI dan MSWP dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada masyarakat.

BAHAGIAN PERKAHWINAN DAN PEMBANGUNAN KELUARGA (BPPK)
JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (JAWI)