MEMPERKASA KEFAHAMAN KAKITANGAN WANITA JAWI MELALUI DAURAH FIQH WANITA
13 MEI 2025 | 15 ZULKAEDAH 1446H (SELASA) - Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah meneruskan siri Program Daurah Fiqh Wanita bertempat di Masjid Al Imam Al Ghazali Bandar Manjalara Kepong. Siri kali ini mensasarkan penyertaan kepada para pegawai dan kakitangan wanita di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Slot Daurah bagi siri kali ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, Ustazah ‘Aisyah binti Harun, Pegawai Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Mengupas isu-isu fiqh wanita dengan tajuk "Fiqh Darah Wanita". Objektif utama penganjuran Daurah ini adalah salah satu inisiatif ke arah memperkasa kefahaman para kakitangan wanita JAWI berkaitan haid, istihadah serta kekeliruan yang acap kali berbangkit berkaitan permasalahan fiqh. Ilmu ini yang bukan sahaja menjadi keperluan asas kepada Muslimah secara peribadi malah atas dasar menyedari bahawa JAWI merupakan salah satu pusat rujukan masyarakat awam di sekitar Kuala Lumpur.
Melalui Daurah ini, para peserta bukan sahaja berpeluang mengulangkaji semula berkaitan asas haid, istihadah, nifas serta kaedah pengiraannya, malah para peserta diberi pendedahan tentang Fatrah dan Naqa’ yang jelasnya masih menjadi kekeliruan dalam kalangan Muslimah hari ini. Tidak hanya berpandukan teori, penceramah turut menyediakan pelbagai contoh situasi untuk membantu peserta lebih memahami kaedah pengiraan haid, istihadah dan nifas khususnya bagi keadaaan wanita yang mengalami bilangan hari haid yang melebihi tempoh maksima itu 15 hari dan 15 malam.
Tajuk ini diketengahkan kerana masih ramai muslimah hari ini kelihatan keliru ketika membezakan antara haid dan istihadah. Para Muslimah harus cakna berkaitan fiqh darah wanita ini berikutan ianya berkait rapat dengan ibadah wajib seperti solat dan puasa. Semoga penganjuran Daurah ini dapat memberi manfaat kepada peserta serta membantu dalam memahami penyelesaian fiqh wanita khususnya berkaitan darah haid, istihadah serta kaedah tepat pengiraannya.
Bahagian Pengurusan Dakwah, JAWI
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan