PENYAMPAIAN PLAK KEPADA PENERIMA ANUGERAH BAGI KATEGORI ORGANISASI SEMPENA MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2020

12 November 2020 | 26 Rabiulawal 1442H –Penyerahan plak kepada penerima anugerah bagi kategori Organisasi Sempena Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 2020 telah disempurnakan oleh YBrs Tuan Haji Mohd. Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Penyampaian plak ini dilaksanakan sebagai mengambil inisiatif dalam norma baharu setelah Majlis Sambutan Maulidur Rasul dibatalkan pada tahun ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Penyerahan berlangsung di lokasi penerima dimulai dengan penerima Anugerah Khas Organisasi Kategori Surau Sekolah iaitu Surau ar-Raudhah D/A Sekolah Kebangsaan Taman Melati yang diterima oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Melati iaitu Encik Mohd Sadli bin Harun.
Lokasi seterusnya iaitu penerima Anugerah Khas Organisasi Kategori Masjid iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang diterima oleh Ustaz Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Pengerusi Masjid Jamek Sultan Abdul Samad .
Penyerahan diteruskan dengan penyampaian kepada penerima Anugerah Khas Organisasi Kategori Surau Jumaat iaitu Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy di Menara Bank Islam, Jalan Perak, Kuala Lumpur yang diterima oleh Ustaz Mohamad Faiz Ibrahim, Bendahari Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy.
Turut hadir dalam penyampaian ini ialah Tuan Hanifuddin bin Roslan, Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Puan Siti Razmah binti Idris, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI dan Puan Nurlaily binti Kamarudian, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI.
Turut menerima Anugerah Khas Organisasi ialah bagi Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) yang diwakili oleh Naib Persiden Pertubuhan, YBhg Datuk Munirah Haji Abdul Hamid.
Disediakan oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah