PROGRAM ZIARAH DAKWAH SECARA BERKALA SIRI 9 DI HOSPITAL TUNKU AZIZAH (HTA) ANJURAN JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Pada 4 November 2020 (Rabu), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui anjuran Unit Kebajikan Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah telah berjaya melaksanakan Program Ziarah Dakwah Secara Berkala Siri 9 di Hospital Tunku Azizah (HTA). Selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak hospital yang tidak membenarkan sebarang aktiviti lawatan/ ziarah pesakit daripada pihak luar, JAWI telah mengambil inisiatif melaksanakan program tanpa melibatkan pesakit. Serahan sumbangan kepada pesakit dilaksanakan secara simbolik melalui wakil pengurusan hospital/ wad bersama pihak JAWI sahaja.
Program ziarah kali ini melibatkan 50 pesakit daripada Wad 10 A (Perubatan) HTA. Tujuan utama pelaksanaan program ziarah ini adalah untuk memastikan pesakit di hospital/ pusat perubatan mendapat sokongan moral di samping JAWI dapat menyalurkan sumbangan berbentuk barang keperluan harian yang mana mampu membantu meringankan bebanan pesakit di hospital/ pusat perubatan dan juga waris. Rombongan ziarah daripada JAWI diketuai oleh YBrs. Encik Ahmad Tarmizi bin Mahmud, Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Dakwah (JAWI) mewakili YBrs. Pengarah JAWI. Manakala, wakil dari HTA pula diketuai oleh YBrs. Puan Siti Maishara binti Bedrul Hisam, Penyelia Khidmat Pelanggan Unit Komunikasi Korporat HTA.
(Serahan sumbangan kepada pesakit di dalam wad ini disampaikan oleh wakil wad HTA)
Disediakan oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah

Cetak   Emel