31 JULAI 2023M | 13 MUHARAM 1445H (ISNIN) – Cawangan Kebajikan Saudara Baru, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah berjaya melaksanakan program Konvensyen Mualaf Wilayah Persekutuan 2023 bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan. Program konvensyen yang dijalankan secara dwitahunan ini bertujuan sebagai platform pertemuan mualaf daripada pelbagai kaum, bangsa dan etnik serta budaya untuk menyalurkan pendapat dan bertukar pandangan dalam suasana mahabbah dan harmoni. Selain itu ianya dapat menjalin persefahaman dan kerjasama yang lebih erat di kalangan saudara baru dan NGO yang menguruskan mualaf serta pihak lain yang berkaitan. Konvensyen Mualaf ini juga adalah sebagai satu wadah untuk mencari titik persamaan dan jalan penyelesaian bagi permasalahan berkaitan mualaf di Wilayah Persekutuan.
Alhamdulillah, seramai hampir 400 peserta Mualaf berjaya mengikuti dengan sebaiknya 2 slot forum yang menampilkan 4 tokoh yang amat berpengalaman. Antara ahli panel yang berjaya menyampaikan sesi perkongsian adalah Tn.Hj Nicholas Sylvestre mewakili NGO Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia, Ustaz Muhammad Shah Shanmuga bin Abdullah dari Kompleks Darul Hidayah Pulau Pinang, Tn. Hj. Muhammad Fitri bin Abdullah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Bro Lim Jooi Soon yang merupakan Pengasas Interaktif Dakwah Dan Tarbiyah (IDT). Pelbagai perkongsian dan ilmu yang bermanfaat dikongsikan oleh ahli panel secara 2 hala dan amat menarik dengan daya tarikan daripada moderator santai iaitu Tn.Hj Abd Ghaffar bin Sharif mewakili NGO Gabungan Dakwah Malaysia dan En.Fadhli bin Burhan dari Interaktif Dakwah Tarbiyah (IDT).
Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Wilayah-Wilayah Persekutuan dan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Islam Wilayah Persekutuan. Antara intipati majlis perasmian adalah ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta mualaf yang menyertai konvensyen yang sentiasa proaktif dan meningkatkan ilmu dan amal untuk diri sendiri. Selain itu, penghargaan diucapkan kepada para pegawai JAWI dan NGO yang bersama-sama bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan pelaksanaan program sepanjang Bulan Menyantuni Mualaf 2023 pada bulan Julai ini.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan