MAJLIS PERASMIAN MASJID SEBAGAI PUSAT KHIDMAT NASIHAT/RUNDINGCARA KEKELUARGAAN DAN SOSIAL JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Pusat Khidmat Nasihat 1

18 Februari 2022 | 16 Rejab 1443H (Jumaat) – Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Masjid (BPM) telah mengadakan Majlis Perasmian Masjid Sebagai Pusat Khidmat Nasihat/Rundingcara Kekeluargaan dan Sosial bertempat di Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Timbalan Pengarah Operasi JAWI dan YBrs. Puan Siti Razmah binti Idris, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI.

Program khidmat nasihat/rundingcara kekeluargaan dan sosial merupakan salah satu inisiatif JAWI membantu masyarakat yang berhadapan dengan konflik dan tekanan hidup. Sebagai langkah proaktif dan prihatin terhadap keperluan masyarakat dan komuniti setempat, maka JAWI telah memperluaskan program khidmat nasihat dan rundingcara ini di masjid-masjid Pusat Zon Wilayah Persekutuan.

Pelaksanaan program ini bertepatan dengan usaha JAWI ke arah memperkasakan peranan masjid sebagai institusi sosial di samping menyantuni masyarakat setempat bagi mewujudkan satu komuniti yang mesra dan prihatin seperti yang terkandung dalam Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024.

Masjid sebagai tempat yang menjadi tumpuan masyarakat sangat mudah dikunjungi. Orang ramai atau masyarakat setempat yang berhadapan dengan pelbagai masalah sama ada masalah kekeluargaan, pendidikan, sosial, emosi, kemurungan dan sebagainya boleh merujuk kepada pegawai rundingcara/petugas yang telah dilantik oleh JAWI mahupun pihak masjid.

Buat masa ini, hanya tiga (3) buah masjid di Wilayah Persekutuan telah dipilih sebagai projek perintis program iaitu:

i) Masjid Wilayah Persekutuan;

ii) Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan; dan

iii) Masjid Salehuddin al-Ayyubi, Taman Melati.

Pusat Khidmat Nasihat 2 Pusat Khidmat Nasihat 3
Pusat Khidmat Nasihat 4 Pusat Khidmat Nasihat 6
Pusat Khidmat Nasihat 7 Pusat Khidmat Nasihat 8
Pusat Khidmat Nasihat 5 Pusat Khidmat Nasihat 9
Pusat Khidmat Nasihat 10 Pusat Khidmat Nasihat 11

 

Disediakan oleh:

Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga (BPPK)

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan