05:48
Imsak
05:58
Subuh
13:15
Zohor
16:28
Asar
19:21
Maghrib
20:31
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

Saiz Teks A- A A+
A A A
 | 

Sedetik Bersama Psiaku Azwar..
Menyentuh Jiwa, Mendidik Minda


alt

18 Mei 2013M/ 8 Rejab 1434H (Sabtu) - 
"Menyentuh Jiwa, Mendidik Minda" mungkin itu antara yang boleh diungkapkan dari program santai dan ringkas namun sarat dengan pelbagai perkongsian ilmu dan pengalaman ini. Program yang dihadiri lebih 10 keluarga yang mempunyai anak-anak AKUKT (Anak-anak Kurang Upaya Kritikal Terlantar) ini dinamakan "Sedetik Bersama Psiaku Azwar". Dianjurkan oleh Cawangan Hadharah & Kefahaman Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertempat di Rumah  Psiaku Azwar (Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Azwar), Taman Batu Muda, Gombak, tujuan utama penganjurannya adalah untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada ibu, ayah dan penjaga anak-anak AKUKT.
 
Slot Bina Diri Wanita yang dimulakan seawal 10.30 pagi ini disampaikan oleh Ustazah Isfadiah Bt Mohd Dasuki, Pensyarah Pusat Asasi UIAM, Pakar Motivasi dan Personaliti TV Al-Hijrah. Penyampaiannya yang bersahaja namun penuh semangat benar-benar memberi inspirasi & motivasi. Ayat suci al-Quran dari Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya" elok dilazimkan bacaannya terutamanya ketika kita merasa letih dan merasa tidak terdaya menanggung ujianNya. Tambahan beliau, dalam menatang anak-anak ahli syurga ini bagai minyak yang penuh, namun istirehat dan kesihatan para ibu, ayah dan penjaganya perlu juga dititik beratkan. Slot menarik beliau ditutup dengan 2 tayangan video hebat yang berjaya meruntun emosi peserta. Salah satunya menunjukkan betapa agungnya kasih sayang si bapa yang membantu anaknya yang OKU berkerusi roda dalam acara Triathlon. Si ayah yang dimamah usia ini bersama-sama berbasikal, berenang dan berlari dengan si anak hinggalah ke garisan penamat.
 
Sharing Moment bersama Encik Abil Fikri, seorang suami yang berhenti kerja kerana menjaga isterinya Fauziah yang menderita akibat kerosakan saraf pada otak selama 2 tahun dan kembali ke rahmatullah di sisi beliau 2 April lepas, juga tidak kurang hebatnya. Kisah beliau yang dilakarkan dalam blog peribadinya 'abil4fauziah' telah mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik. Beliau memberitahu kesusahannya menjaga arwah hanya dirasakan selepas 2 minggu isterinya meninggal dunia, namun sepanjang menjaga arwah segalanya dilakukan dengan penuh cinta dan sayang, tanpa lelah walaupun tidur beliau hanyalah 3 jam sehari. Sayangnya tidak pernah luntur bermula di saat beliau menikahi isterinya yang cantik dan gebu hinggalah di saat akhir hayatnya yang hanya tinggal kulit dan tulang yang lesu. Beliau turut melahirkan rasa kagumnya kepada para penjaga AKUKT yang  diberi ruang dan peluang untuk menjaga bakal-bakal penghuni syurga Allah SWT.

Program hampir 2 jam ini diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada penceramah dan sumbangan dari 
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan orang ramai kepada pihak Psiaku Azwar dalam bentuk wang dan barangan. Walaupun program ini telah berakhir, namun sumbangan berterusan dari orang ramai amat diperlukan oleh pertubuhan yang didaftarkan semenjak Oktober 2009 ini. Program ini diharapkan dapat menjadi 'ibrah (pengajaran) kepada para peserta selain menyuntik kekuatan fizikal, rohani dan jasmani demi kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi.

alt alt
alt alt
alt alt

Foto dan Teks oleh:
Cawangan Hadharah & Kefahaman Islam
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)