05:47
Imsak
05:57
Subuh
13:15
Zohor
16:28
Asar
19:20
Maghrib
20:31
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

Saiz Teks A- A A+
A A A
 | 

12 Ogos 2011 (Jumaat) – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur, di sini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Sahibus Samahah Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan, YB Senator Datuk Haji Rizuan Bin Ab Hamid, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Tuan Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan YBhg. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Setiausaha MAIWP.

Masjid Amaniah yang terletak di Jalan Besar Kepong, siap dibina sepenuhnya bagi memberi kemudahan kepada anak-anak kariah dan penduduk setempat. Sebelum pembinaan masjid ini, penduduk Kepong menunaikan Solat Jumaat di Madrasah Al-Islah Ad-Dinniyah Kepong Baru Kuala Lumpur. Pada masa itu, kawasan berkenaan yang berdekatan dengan Surau Balai Polis Kepong dikelilingi dengan rumah-rumah setinggan dan bersebelahan dengan klinik ibu mengandung. Surau tersebut terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Kepong yang mana majoriti jemaah pada masa itu terdiri daripada kakitangan dan keluarga anggota polis.

Tanggal 4 April 2002, Pejabat Tanah Dan Galian Kuala Lumpur telah meluluskan sebidang tanah di atas lot 57350 Pekan Kepong untuk pembinaan sebuah masjid baru bagi keperluan penduduk setempat dan sejumlah RM6.7 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membina masjid ini. Kerja-kerja pembinaan masjid ini bermula pada 5 Julai 2005 dan siap sepenuhnya pada 6 Mac 2007. Pada 12 April 2007, JAKIM dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan Majlis Penyerahan Bangunan Masjid Amaniah Kepong kepada JAWI untuk ditadbir urus. Solat jemaah pertama juga telah diadakan pada hari yang sama dimulakan dengan solat maghrib, majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat.

Solat Jumaat pertama yang didirikan di masjid ini adalah pada 13 April 2007 dan khutbah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI. Masjid Amaniah Kepong diletakkan di bawah pentadbiran pejabat Pusat Zon 1 Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI.

Kompleks Masjid Amaniah yang bercirikan modern malay contemporary ini dibina setinggi tiga tingkat dan dapat menampung kapasiti jemaah seramai 3000 jemaah. Ia merangkumi keluasan tanah 10,977 meter persegi dan terdapat sebuah pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, tandas golongan orang kurang upaya (OKU) tandas orang kenamaan (VIP), empat (4) kelas pengajian, dapur terbuka serta tempat meletak kenderaan. Di tingkat bawah masjid pula memuatkan ruang solat utama, bilik imam, bilik azan, bilik tetamu, ruang penyediaan, bilik pengurusan jenazah, bilik stor, serta bilik wudhuk lelaki dan wanita. Kini, masjid ini bertindak sebagai one stop centre bagi penduduk sekitar Kepong untuk menyemarakkan lagi aktiviti–aktiviti keagamaan selaras dengan peranan yang dimainkan oleh masjid ini untuk meningkatkan syiar Islam di Wilayah Persekutuan.

    
 
    

    

Foto oleh:
Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria
Teks oleh :
Unit Perhubungan Awam Dan Penerbitan,
JAWI