05:45
Imsak
05:55
Subuh
13:14
Zohor
16:30
Asar
19:20
Maghrib
20:31
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

Saiz Teks A- A A+
A A A
 | 

24 Julai 2011 (Ahad) – Program Imam Muda Qaryah (IMQ) Pelapis Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bermula 13 Februari lalu telah melabuhkan tirainya malam ini dan menyaksikan seorang finalis daripada 850 peserta dinobatkan sebagai juara unggul Imam Muda Qaryah.

Penyampaian Anugerah Perdana IMQ Pelapis JAWI ini disempurnakan sepenuhnya oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Muktamar JAWI, Kompleks Pusat Islam, JAWI.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah SS Datuk Haji Wan Zahidi Bin Haji Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Terdahulu, tiga finalis yang Berjaya mara ke peringkat akhir diuji dengan pelbagai ujian termasuk ujian hafazan dan kemahiran bacaan al-Quran, ujian pengucapan awam dalam tiga bahasa serta ujian minda.

Juara sulung IMQ Pelapis JAWI, Hafizi Abdillah Bin Rusli berasal dari Terengganu telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.00 bersama pakej menunaikan umrah, sijil tauliah mengajar dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sijil penyertaan beserta hadiah iringan berupa komputer riba dan seutas jam tangan.

Sementara itu, naib juara IMQ, Muhammad Nazri Bin Musa pula menerima wang tunai sebanyak RM15,000.00, sijil tauliah mengajar dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan sijil penyertaan beserta hadiah iringan berupa komputer riba dan seutas jam tangan.

Manakala penerima tempat ketiga, Amran Bin Mat Arriffen berasal dari Kelantan menerima wang tunai sebanyak RM10,000.00 bersama sijil tauliah mengajar dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sijil penyertaan beserta hadiah iringan berupa komputer riba dan seutas jam tangan.

Program IMQ Pelapis JAWI ini merupakan program yang julung kalinya dilaksanakan sepenuhnya oleh JAWI selepas menyaksikan kejayaan program Imam Muda Astro Oasis Musim Pertama dan Kedua yang mana telah Berjaya mencipta peradigma baru dalam alternative hiburan bercorak keagamaan di negara ini.

Ia juga merupakan salah satu inisiatif atau usaha pihak JAWI dalam mencungkil bakat dan menarik minat generasi muda yang berkebolehan untuk mewarisi tugas mulia mengimarahkan masjid dan surau sebagai imam dan selaras dengan misi JAWI iaitu melaksanakan dakwah secara menyeluruh dan profesional di samping dapat mempertingkatkan kecekapan sistem pengurusan masjid dan surau.

Untuk makluman, program ini dijalankan dengan kerjasama MAIWP, pusat-pusat pentadbiran masjid zon, masjid-masjid, surau-surau jumaat dan surau-surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Penyertaan terbuka kepada warganegara berusia antara 18 hingga 40 tahun, bermastautin tetap, bekerja atau belajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Putrajaya serta mendapat pengesahan daripada Penyelarasan Pusat Pentadbiran Zon. Manakala peserta yang bermastautin di Putrajaya pula boleh mendapat pengesahan daripada Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Kariah, Cawangan Putrajaya.

Pemilihan peserta dibuat berdasarkan penguasaan ilmu pengetahuan Islam, syariat dan penampilan asas di samping memenuhi syarat-syarat penyertaan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Para peserta terlebih dahulu dikehendaki menjalani sesi latihan di pusat-pusat zon pentadbiran masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum terpilih ke peringkat seterusnya bagi merebut gelaran juara Imam Muda Qaryah.

Modul program ini juga tidak melibatkan penyingkiran dan lebih menumpukan kepada sesi pembelajaran dan latihan. Antara modul pengajaran dan penilaian dari segi teori serta praktikal yang akan dimuatkan dalam program keagamaan ini ialah kemahiran ilmu akidah, ilmu fekah dan mazhab, ilmu tajwid dan taranum, penulisan dan penyampaian khutbah.

Peserta IMQ juga turut diuji dan diberikan beberapa tugasan berkaitan oleh tenaga pengajar IMQ termasuk menyampaikan khutbah serta mengimamkan solat jumaat secara langsung, menguruskan jenazah, mengikut program dakwah dan sesi kaunseling.

IMQ musim kedua akan di kembangkan sehingga ke Wilayah Persekutuan Labuan dan persisiran pantai barat Sabah dan Sarawak.
 
    
 
    
 
    

Foto dan teks oleh:
Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria