4 Disember 2010 (Sabtu) – Seramai 250 pasangan dari sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diraikan dalam Majlis Meraikan Pasangan Pengantin 1Malaysia Secara Beramai-Ramai Wilayah Persekutuan 2010 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertempat di Dewan Utama, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.Pasangan bertuah terbabit terdiri daripada 228 pasangan suami isteri berbangsa melayu Islam, 18 pasangan saudara baru dengan bangsa melayu dan empat pasangan kedua-duanya saudara baru.Setiap pasangan terpilih bukan sahaja diraikan, malah mereka juga turut menerima saguhati berbentuk wang sebanyak RM500 seorang serta sepasang pakaian suami dan isteri untuk dipakai pada majlis berlangsung.Antara beberapa syarat penyertaan yang ditetapkan kepada pasangan ialah salah seorang pasangan tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Putrajaya, merupakan warganegara Malaysia, perkahwinan kali pertama kecuali Saudara Baru, pasangan yang berkahwin pada bulan April dan ke atas, Saudara Baru dan tergolong dalam asnaf faqir atau miskin serta pendapatan isi rumah suami isteri RM2400 dan ke bawah.Selain itu, pasangan terbabit juga perlu mengemukakan pemohonan menerusi Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan JAWI untuk sesi saringan dan pemilihan pasangan yang benar-benar berkelayakan.Tujuan utama program tersebut diadakan ialah bagi memberi dorongan dan motivasi kepada masyarakat supaya meninggalkan gaya hidup yang tidak sihat dan memilih untuk mendirikan rumah tangga melalui ikatan perkahwinan yang sah di sisi hukum syara’. Di samping dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat pada masa kini, program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial serta usaha pihak kerajaan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah.
Terdahulu, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (Bersara), Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah merasmikan majlis tersebut dan turut menyampaikan mock cheque bernilai RM249,500 kepada wakil pasangan yang diraikan. Hadir sama ialah YB Senator Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan suami, YBhg. Dato’ Abdul Shakur bin Abu Bakar, YBhg. Dato' Hj. Wan Mohamad bin Dato Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan isteri, YBhg. Datin Hajjah Saadiah binti Haji Ahmad Rashdi serta YBhg. Dato' Hj. Che Mat Bin Che Ali, Pengarah JAWI serta isteri, YBhg. To' Puan Hjh. Rakiah Mariana Binti Latiff.


Foto oleh:
Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria
Teks oleh:
Unit Perhubungan Awam Dan Penerbitan JAWI